Awas Pada Gimik 'Beli Satu Percuma Satu'




Oleh Zulkiple Ibrahim


"Jualan. Dua hanya RM2.30". Itulah notis yang penulis nampak bila beliau melangkah masuk ke sebuah stesen minyak di Rawang, dekat sini bagi membayar minyak untuk keretanya. Notis tersebut terpampang di satu baris minuman tin yang terletak di rak barangan berhampiran dengan kaunter juruwang.

Tertarik dengan 'tawaran' itu, penulis lalu mengambil empat tin minuman (pelbagai rasa) dan meletakkan wang RM50 bagi membayarnya.

Si juruwang, seorang warga asing, dengan selamba melalukan tin-tin minuman itu di bawah mesin pengimbas yang membunyikan 'klik', satu bunyi yang tidak asing lagi pada masa kini. Jumlah yang perlu dibayar menunjukkan RM6.20, sedangkan sepatutnya RM4.60.

Bila ditanya penulis kenapa harga sebegitu yang tertera, juruwang menjawab juga dengan selamba: "Harganya lain bagi lain tin".

"Tapi notis tu kata RM2.30 dua tin", penulis memberitahu juruwang sambil menunjukkan pada notis yang terletak di barisan minuman itu.

Juruwang kemudian memanggil penyelianya yang juga seorang warga asing. Beliau datang dan sekali lagi 'mengimbas' tin-tin minuman itu dan kali ini jumlahnya adalah RM5.20. Rasa tidak puashati mula timbul dalam diri penulis. beliau menuding jarinya terhadap notis yang diletakkan dan si penyelia tidak dapat berkata apa-apa.

Marah dengan gimik yang dilakukan, penulis meninggalkan premis itu tanpa membeli minuman tersebut.

WASPADA PENIAGA TIDAK BERTANGGUNG JAWAB 

Aktivis sosial dan konsumer menyuarakan pendapat beliau:

"Ini adalah musim perayaan dan konsumer harus sedar akan segelintir peniaga yang tidak bertanggung jawab yang kembali kepada gimik-gimik lama mereka.

"Ada yang meletakkan notis seperti tertera perkataan 'jualan', 'beli satu dapat satu percuma' dan ada yang mempamerkan gimik-gimik lain yang memberikan diskaun hebat".

Beliau menasihati pengguna agar bijaksana terhadap gimik-gimik seperti ini.

"Tiada peniaga mahu berniaga mendapat kerugian. Ini musim perayaan dan mereka tahu orang ramai perlu membeli barangan buat Hari Raya. Peniaga tahu ini adalah masanya mereka buat duit".

BELI SATU PERCUMA SATU 

Dalam satu episod lain, penulis telah pergi ke satu zon gudang membeli-belah berhampiran Nilai di Negeri Sembilan untuk mencari beberapa peralatan perkahwinan.

Di satu kedai, beliau ternampak notis ini: "Beli Satu Percuma Satu'.

Seorang jurujual di situ memberitahunya: "Pakcik, beli satu untuk RM30 dan dapat satu lagi (barangan yang sama) percuma. Jadi dua barang hanya pada RM30".

Mujurlah sebelum itu, penulis telah mengunjungi sebuah kedai lain yang juga menjual barangan yang sama (kotak hantaran) pada harga RM15 setiap satu. Jadi kalau dua barang, harganya tetap sama iaitu RM30. Jadi sebenarnya tiada 'tawaran' oleh kedai yang kedua, cuma gimik semata-mata.

Sebuah lagi kedai memang betul memberikan tawaran kerana ia menjual produk yang sama pada RM12.50 setiap satu!

AKTA PERIHAL DAGANGAN 

Penulis juga mengalami satu lagi episod 'gimik' peniaga bila beliau mengunjungi sebuah kedai tekstil di Rawang dekat sini baru-baru ini.

Beliau terpandang sehelai songket yang cantik dan tanda harganya ialah RM90.

Tetapi apa yang beliau lihat selanjutnya menceritakan perkara sebenar. Terdapat satu notis yang lain: "Beli satu RM90. Beli dua RM100". Penulis beredar kerana beliau sedar dari tanda tawaran harga itu, harga sebenar sehelai songket itu hanyalah separuh dari harga yang tertera.

Seorang lagi aktivis sosial dan pengguna Gurmukh Singh menyuarakan pandangan beliau.

"Peniaga, sebelum bermurah hati membuat tawaran mereka, telah mencongak untung rugi mereka. Tiada peniaga dalam dunia yang mau kerugian".

Gurmukh berkata peniaga yang tidak bertanggung jawab menipu pelanggan menyalahi Akta Perihal Dagangan.

"Mereka mengambil risiko barangan mereka dirampas dan disita pihak berkuasa", tambah beliau.

-- BERNAMA

Comments

AngahSayang2314 said…
memang betul apa yg perlu kita kena berhati2 senang aja org nak menipu
Aainies Aini said…
tu lakan.. kene hati.. jgn mudah pecaya.. :)

Popular Posts