Monday, November 28, 2011

Manusia yang paling dikasihi Allah-


Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:“Manusia yang paling dikasihi Allah ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan amalan yang paling disukai oleh Allah ialah menggembirakan hati orang-orang Islam atau menghilangkan kesusahan daripadanya atau menunaikan keperluan hidupnya di dunia atau memberi makan orang yang lapar. Perjalanankubersama saudaraku yang muslim untuk menunaikan hajatnya, adalah lebih aku sukai daripada aku beriktikaf di dalam masjid ini selama sebulan, dan sesiapa yang menahan kemarahannya sekalipun ia mampu untuk membalasnya nescaya Allah akan memenuhi keredhaannya di dalam hatinya pada hari Qiamat, dan sesiapa yang berjalan bersama-sama saudaranya yang Islam untuk menunaikan hajat saudaranya itu hinggalah selesai hajatnya nescaya Allah akan tetapkan kakinya(ketika melalui pada hari Qiamat) dan sesungguhnya akhlak yang buruk akan merosakkan amalan seperti cuka merosakkan madu.” (Hadith Riwayat ibnu Abid-Dunya) 

Huraian Hadith

Berbuat baik dan memberi keselesaan kepada orang lain akan diganjari Allah dengan balasan yang berlipat ganda sama ada berupa pahala, kebaikan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Semua ini akan dapat dilakukan sekiranya seseorang itu mempunyai keimanan dan keikhlasan di hatinya sehingga segala tindakan-tindakan yang dilakukannya sentiasa melahirkan kebaikan pada dirinya dan dalam hubungannya dengan orang lain serta masyarakat di sekelilingnya.

Demikian juga kita digalakkan agar jangan membalas kejahatan orang lain dengan kejahatan juga tetapi hendaklah membalasnya dengan kebaikan seperti api yang menyala dan membakar nescaya akan terpadam apabila disirami air. Maka begitulah dengan kebaikan, lambat laun akan melembutkan hati yang keras dan menghapuskan kejahatan yang melanda.

Sebaliknya jika kecenderungan berbuat perkara-perkara yang jahat terus dibiarkan menguasai diri maka akan rosaklah segala kebaikan yang pernah dilakukan kerana lazimnya kejahatan itu biarpun hanya sekali dilakukan ia mudah dilihat (diketahui) berbanding dengan banyaknya kebaikan yang pernah dilakukan oleh seseorang itu.
Sesungguhnya keimanan itu sentiasa terbuka untuk ditingkatkan sebaliknya iman akan merosot sekiranya kita melakukan perbuatan maksiat.

Orang yang disayangi Allah dengan orang yang dibenci Allah

"Apabila Allah mahukan kebaikan kepada mana-mana hambaNya, Ia jadikannya merasa dirinya kaya dan ia mengisi taqwa di dalam hatinya, dan apabila Allah mahukan keburukan kepada mana-mana hambaNya, Ia jadikan kemiskinan itu terbayang di matanya." (Diriwayatkan oleh al-Hakim dari Abi Hurairah r.a.)

Kaya dan miskin sentiasa menjadi persoalan pokok dalam hidup manusia di dunia ini. Yang miskin ingin jadi kaya dan yang kaya ingin jadi lebih kaya lagi. Namun begitu keinginan untuk jadi kaya bukanlah merupakan satu dosa di sisi Allah SWT, demikian juga keinginan menjadi lebih kaya. Tetapi yang sering menghilangkan pertimbangan manusia yang wajar dan yang sering menjadikan manusia lupakan daratan ialah perasaan tamak yang tidak mengenal batasnya, perasaan merasa tidak cukup yang tidak mengenal sempadan.
Dalam hadis ini, Allah SWT mendedahkan dua sifat pokok yang membezakan di antara orang yang disayangi Allah dengan orang yang dibenci Allah. Sifat yang disayangi Allah SWT ialah sifat memadai dan sederhana (qanaah). Setiap orang yang dapat menikmati sifat itu akan merasa dirinya benar-benar kaya dan merdeka. Ia tidak diburu oleh merasa kebimbangan yang bukan-bukan, tidak dirasuk oleh ketamakan-ketamakan yang boleh memesongkan jalan hidupnya yang baik, sementara sifat orang yang dibenci Allah SWT ialah orang yang sentiasa merasa dirinya diancam kemiskinan, ia begitu takut jatuh papa dan miskin, begitu panik dengan kemerosotan kekayaannya walaupun kekayaan yang wujud dalam miliknya masih kukuh dan masih tidak seburuk orang lain.
Penyakit takut miskin atau 'fobia miskin' merupakan penyakit zaman moden yang amat ditakuti sekali, kerana itu sebilangan besar orang ramai melindungi dirinya dan anak buahnya dengan berbagai-bagai insuran dan menyapu dari jiwa mereka sebarang perasaan menyerah dan bertawakkal kepada Allah SWT yang menjadi tunjang utama para Mukminin dan tidak kurang pula menjadi petualang-petualang yang bersedia untuk merompak apa sahaja peluang yang dapat membebaskan mereka dari ketakutan menjadi miskin. Dan penyakit inilah juga yang menjadikan mereka manusia-manusia bakhil yang hanya sibuk menghitung punca-punca masuk dan keluarnya duit-duit mereka, tanpa mengira kewajipan-kewajipan terhadap hak2 Allah SWT serta hak2 orang lain di dalam harta mereka.

Allah SWT memberi satu sindiran tajam kepada manusia yang dikongkongi penyakit 'fobia miskin' melalui firmanNya: "Katakanlah: Kalau kiranya kamu menguasai perbendaharaan-perbendaharaan nikmat Tuhanku, tentulah kamu tahankan perbendaharaan itu kerana takut membelanjakannya, sesungguhnya manusia itu bersifat bakhil." (QS Al-Isra':100)