Biar jadi pemalu daripada tidak tahu malu

Oleh Noor Shakirah Mat Akhir



SECARA fitrahnya, manusia mempunyai sifat malu, tetapi fitrah itu terjejas akibat godaan syaitan seperti peristiwa merujuk kepada Nabi Adam dan Hawa yang diceritakan dalam al-Quran. 


Firman Allah bermaksud: “Maka syaitan memujuk keduanya (untuk memakan buah itu) dengan tipu daya. Tatkala keduanya sudah merasai buah itu, nampaklah bagi keduanya aurat-auratnya, dan mulailah keduanya menutupinya dengan daun-daun syurga. Kemudian Tuhan mereka menyeru mereka: Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pohon kayu itu dan Aku katakan kepadamu: Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu berdua?” (Surah al-‘Araf, ayat 22)


Aspek iman tidak boleh dipisahkan dengan sifat malu kerana malu itu adalah cabang iman.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sifat malu adalah satu cabang daripada cabang iman.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 


Sabda Baginda lagi: “Malu itu sebahagian daripada iman. Dan iman tempatnya di syurga, sedangkan ucapan keji termasuk sebahagian tabiat kasar dan tabiat kasar itu tempatnya di neraka”. (Hadis riwayat al-Tirmizi) 


Malu adalah sifat yang mulia, ia perlu wujud dalam setiap individu Muslim kerana adanya sifat malu akan mencegah seseorang melakukan kemungkaran dan perbuatan keji yang dilarang agama. Oleh itu, perasaan malu akan melengkapkan lagi iman seseorang Muslim. 


Orang beriman akan ada perasaan malu untuk melakukan dosa tetapi jika keimanan nipis dan dikuasai nafsu serta godaan syaitan, maka dia tidak akan malu melanggar perintah Allah. Malah, tanpa rasa malu itu ada yang sanggup bermegah mencanangkan perbuatan kejinya. 
Firman Allah bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang yang beriman, hendaklah mereka sentiasa merendahkan pandangan dan memelihara kehormatan mereka.” (Surah al-Nur, ayat 30) 


Malu bukan saja boleh mengawal perlakuan, malah emosi dan tingkah laku. Seseorang yang malu mengeluarkan kata-kata kesat apabila marah adalah hasil kemampuan diri mengawal perasaannya. 


Bagaimanapun, di sebalik kesan positif, malu boleh menjurus kepada perkara negatif iaitu malu melakukan kebaikan atau malu mencegah kemungkaran yang makin berleluasa dalam kalangan generasi sekarang. 


Jika dilihat konteks malu dalam Islam dan kaitannya dengan masyarakat Islam, dapat dirumuskan bahawa gejala sosial atau kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat masa kini berpunca daripada berkurangnya sifat malu sekali gus memperlihatkan kerapuhan iman dalam kalangan generasi muda khasnya. 


Masyarakat Melayu dikenali bersopan santun dan berbudi bahasa malangnya nilai itu jauh apabila masyarakat tidak malu melakukan perbuatan menyalahi nilai murni yang menjadi amalan selama ini. 


Kebebasan tidak pernah dihalang tetapi perlu melihat kepada batasan kerana kebebasan mutlak akan menghancurkan fitrah malu yang ada dalam diri hingga perkara yang sepatutnya memalukan sudah tidak lagi dianggap sebagai memalukan. 


Oleh itu, malu sebagai benteng kepada kekukuhan iman perlu ditanam dalam diri anak kecil, remaja, dewasa malah orang tua supaya hanya contoh terbaik dapat dilihat serta diamal dalam kehidupan. Biarlah jadi pemalu daripada dikatakan tidak tahu malu.

Comments

ieda said…
akak suka nie .. yes betul , kalau iman x kukuh susah dlm segala hal ..
Aainies Aini said…
yup.. setuju dgn akak heheh :)

Popular Posts